CABARAN DAN KESEDIAAN GURU DALAM MENGHADAPI GLOBALISASI
Cabaran yang terpaksa dilalui oleh institusi pendidikan dalam konteks pelaksanaan inovasi kurikulum adalah kesediaan guru untuk menerima dan melaksanakannya dengan penuh kesungguhan. Harvey (1990) telah menyenaraikan beberapa faktor yang mengekang kesediaan guru untuk melaksanakan perubahan iaitu:
1. Kurang rasa kepunyaan: Guru-guru merasakan perubahan yang dilaksanakan di sekolah sebagai elemen asing justeru mereka tidak mempunyai rasa kepunyaan, lebib-lebih lagi sekiranya mereka menyedari idea sesuatu perubahan itu adalah daripada pihak mar seperti pertubuhan bukan kerajaan, kumpulan-kumpulan pendesak, tekanan pihak media dan sebagainya.
2. Kurang berfaedah: Guru-guru mempunyai pandangan agak konservatif bahawa amalan yang sedia ada tidak perlu kepada perubahan yang drastic kerana kurang diyakini benar-benar membawa faedah kepada mereka dan juga murid. Situasi mungkin akan menjadi lebih bercelaru apabila perubahan itu menyebabkan guru kekurangan kuasa autonomi terhadap pelajar seperti idea mengenai fungsi guru dalam kelas adalah sebagai pemudah cara sedangkan kebanyakan guru berpendapat fungsi tradisi guru adalah sebagai pendidik dan penyampai ilmu.
3. Penambahan beban: Guru mempunyai persepsi umum bahawa setiap perubahan bermakna penambahan terhadap beban tugas dan tanggungjawab. Persepsi ini menyebabkan guru bersikap pesimis terhadap pencetus idea perubahan kerana pihak-pihak berkenaan dianggap sebagai tidak memahami masalah mereka terutama beban tugas yang tidak berkaitan dengan pengajaran seperti menghadiri mesyuarat, menghadiri kursus, menjalankan aktiviti berkala di sekolah seperti hari kantin, hari sukan, hari kokurikulum dan pelbagi "jenis hari".
4. Kekurangan sokongan pentadbiran: Guru-guru sukar untuk melaksanakan perubahan kurikulum di sekolah sekiranya pihak pentadbiran kurang memberikan sokongan iaitu dari segi:
a) kewangan
b) motivasi dan dorongan
c) pengiktirafan
d) penyediaan peralatan untuk pengajaran dan pembelajaran dan
e) mengurangkan karenah birokrasi di peringkat sekolah.
5. Menyendiri: Kebanyakan guru lebih suka melakukan tugas secara menyendiri terutama berkaitan pengajaran dan pembelajaran. Justeru sekiranya perubahan memerlukan guru bekerja secara berpasukan seperti pelaksanaan kaedah kolaboratif guru berasa kurang kondusif dan kebanyakan mereka akan mengelak dari melibatkan diri secara proaktif.
CABARAN: KEBERKESANAN KOKURIKULUM SEKOLAH
Dunia tanpa sempadan menyebabkan Malaysia menghadapi kemelutan sosial. Kebanjiran maklumat, akses yang mudah keadaan dunia hiburan,layaran mudah bahan-bahan porno melalui Internet dan melayari alam siber yang menjadi trend masyarakat menyebabkan berlakunya gejala negatif di masyarakat kini.
Perasaan kebimbangan terhadap generasi pelajar masa ini telah tercetus akibat fenomena negatif ini. Perkembangan tersebut telah mendorong para perancang kurikulum Malaysia terpaksa menyemak semula keberkesanan kurikulum sekolah untuk menghadapi pelbagai perubahan akibat pengaruh globalisasi tersebut. Penyemakan terhadap kekuatan dan kelemah system pendidikan di Malaysia perlu dilakukan dari semasa ke semasa oleh perancang kurikulum untuk menyediakan pelajar dengan kemahiran dan pengetahuan tertentu bagi menghadapi daya saing persekitaran global yang semakin sengit dan mencabar.
CABARAN: PENGURUSAN PENDIDIKAN
Pengurusan pendidikan juga telah mengalami transformasi yang agak radikal dalam perkembangan dunia global terutama dari segi penggunaan teknologi telekomunikasi dan pengkomputeran. Beberapa inovasi telah dilaksanakan dalam pengurusan pendidikan di Malaysia terutama di peringkat sekolah bagi meningkatkan kecekapan dalam pengurusan pendidikan. Beberapa perisian baru telah diaplikasikan yang dikenali sebagai Pengurusan Maklumat Sekolah (School Management Information System). Aplikasi sistem ini telah memudahkan pihak pentadbiran sekolah melaksanakan tugas-tugas rutin seperti:
1. Membantu dan mempermudahkan pengurus sekolah membuat keputusan.
2. Meningkatkan kecekapan pengurusan dan pentadbiran.
3. Mengurangkan beban pengurus dalam melaksanakan tugas yang pelbagai.
4. Meningkatkan kecekapan sistem pengurusan fail.
5. Memudah dan menjimatkan masa dari segi mengumpul, memproses dan menyimpan data seperti laporan kehadiran pelajar.
6. Meningkatkan kecekapan dalam penyediaan gred/markah peperiksaan pelajar.
7. Penempatan pelajar dalam kelas.
8. Membuat agihan jadual waktu mengajar guru.
9. Pembinaan jadual waktu guru.
10. Membuat agihan sumber kewangan, buku teks, dan sebagainya.
11. Menyimpan data mengenai stok dan inventori sekolah serta pelbagai urusan rutin yang dikendalikan pentadbir dan guru
PERANAN PENDIDIK
Hussien Ahmad (2001) memberi penegasan bahawa proses globalisasi telah membawa perubahan yang mendadak kepada perlakuan hidup dan norma kehidupan manusia. Masyarakat Malaysia sedang berdepan dengan pelbagai budaya yang bertentangan dengan budaya setempat. Jati diri anak-anak remaja yang masih di bangku sekolah kini menjadi pertanyaan kerana terdapat petunjuk dimana asas-asas budaya, agama dan bangsa mulai longgar. Mereka semakin liar dan terikut-ikut akan gaya hidup dan amalan negatif kehidupan barat seperti pergaulan bebas dan berseronok-seronok sehingga lewat malam menyebabkan mereka tidak dapat menumpukan perhatian dalam kelas keesokan hari. Semua institusi pendidikan menghadapi cabaran untuk meletakkan anak-anak remaja di landasan moral yang betul melalui pelaksanaan program-program pendidikan nilai di sekolah.
Aspek yang diteliti adalah aspek berkaitan keperibadian guru. Guru perlu menampilkan perwatakan yang positif terutama ketika proses pengajaran dan pembelajaran. Antara watak yang perlu diterampilkan supaya menjadi contohan pelajar ialah amanah, bersopan santun, berdedikasi serta taat kepada tuhan. Aktiviti kokurikulum seperti badan beruniform, persatuan, kelab, dan kegiatan sukan dapat memberi input penting kepada pembentukan sahsiah pelajar. Aktiviti yang dijalankan melalui pemantauan guru akan menyuburkan sikap positif terhadap semangat kerjasama, berdikari dan semangat cinta akan negara serta membantu dalam pembentukan jati diri dan moral pelajar.
PERANAN PELAJAR
Isu–isu berkaitan perlakuan negatif pelajar semakin membimbangkan. Hasrat untuk merealisasikan Falsafah Pendidikan Kebangsaan bagi melahirkan individu pelajar yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani sedang menghadapi ujian dari segi keberkesanan pelaksanaannya kerana masyarakat masa kini sedang berhadapan dengan arus globalisasi yang bersamanya membawa masuk pelbagai budaya yang bertentangan dengan budaya setempat. Dalam era globalisasi ini, banyak cabaran yang harus ditempuhi. Globalisasi itu sendiri merujuk kepada dunia tanpa sempadan. Generasi kini dikatakan mempunyai kemudahan dihujung jari. Namun begitu, generasi muda seperti pelajar harus lebih berhati – hati dalam memilih segala maklumat yang diperolehi.
Sebagai contoh, dunia hari ini banyak menggunakan internet sebagai rujukan maklumat terutamanya kepada pelajar. Pelajar menggunakan internet dalam mencari bahan rujukan kepada tugasan yang diberikan oleh pengajar. Selain itu, pelajar juga menggunakan internet sebagai bahan untuk bersosial pada laman web tertentu bagi memenuhi keperluan sosial mereka. Sehubungan dengan itu, pelajar haruslah mempunyai nilai kesedaran sendiri. Mereka perlulah pandai dalam memilih maklumat. Banyak maklumat positif yang boleh merangsang minda pelajar dan dalam masa yang sama banyak maklumat negatif yang boleh merosakkan pelajar.
Para pelajar dikatakan sebagai tunjang kepimpinan pada masa akan datang. Pelajar harus bersikap matang dalam menghadapi cabaran era globalisasi. Pada masa sekarang pelajar harus lah sentiasa mengikut perkembangan dalam setiap maklumat kerana persaingan yang ramai. Pelajar yang ketinggalan tidak akan dapat bersaing dan akan sentiasa kebelakang. Perkembangan semasa penting untuk menjadi seorang pemimpin yang disegani. Dunia hari ini mengatakan sehari tanpa berita semasa sudah banyak maklumat yang dilepaskan. Pelajar harus dididik dari sekarang supaya terbiasa dengan arus dunia sekarang.
PERANAN IBUBAPA
Ibu bapa merupakan contoh terbaik untuk pembentukan sahsiah diri anak-anak. Ia bertujuan untuk mencorakkan perwatakan atau personaliti anak-anak supaya ciri-ciri tingkah laku yang ditunjukkannya adalah baik dan sesuai dengan kehendak ibu bapa, keluarga, masyarakat dan negara. Keindahan tingkah laku dalam diri anak-anak menjamin masa depan yang cerah bagi belia untuk menjadi seorang pemimpin yang berwibawa kelak. Oleh yang demikian, peranan ibu bapa dalam cabaran globalisasi masa kini terutama di Malaysia semakin mencabar. Ibu bapa haruslah menjadi contoh yang terbaik dalam mengorak langkah bagi membimbing anak-anak mereka ini. Seawal dalam kandungan lagi, ibu bapa haruslah cuba untuk menjaga permakanan dan kesihatan agar dapat melahirkan anak yang baik.
Ibu bapa juga haruslah memastikan anak-anak mereka mendapat pendidikan yang terbaik dari guru-guru dan seboleh-bolehnya ibu bapa haruslah cuba untuk memenuhi keperluan pelajaran mereka seperti menyediakan komputer peribadi kepada mereka, bahan-bahan bacaan yang mencukupi dan memberikan perkhidmatan tuisyen tambahan agar masa terluang mereka tidaklah diabaikan begitu sahaja. Tambahan pula, ibu bapa mesti sentiasa peka dengan pembelajaran anak-anak dan cuba untuk memberikan yang terbaik agar mereka dapat belajar dalam persekitaran yang baik dan tenang bagi memudahkan mereka menelaah pelajaran dengan berkesan. Selain itu, ibu bapa mestilah sentiasa menemani anak mereka terutama pada waktu malam sekiranya ibu bapa ada kelapangan bagi menemani anak-anak mengulangkaji pelajaran. Dengan itu, tidaklah mereka berasa sunyi dan ada teman untuk berbual atau teman ketakutan. Maka, jelaslah peranan ibu bapa amatlah besar dalam cabaran globalisasi pendidikan masa kini di Malaysia khususnya.
PERANAN ICT
Globalisasi yang asaskan perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), pembangunan pendidikan mementingkan budaya dan penguasaan ICT di kalangan pelajar. Perubahan harus berlaku dalam system mengajar dan belajar di bilik-bilik darjah yang mana pendekatan konstruktivisme adalah digalakkan kerana ia dapat memupuk minat serta menggalakkan pelajar lebih bertanggungjawab terhadap pembelajaran di samping menerapkan amalan pembelajaran sepanjang hayat. Penyelidikan yang menyeluruh dan berterusan juga perlu dibuat terhadap keberkesanan pendekatan konstruktivisme agar kesan pembudayaan ICT di kalangan generasi muda berlaku secara berkesan dan berpanjangan.
PERSEKITARAN PEMBELAJARAN
Dalam usaha menangani cabaran globalisasi dalam sektor pendidikan, Malaysia perlu menyediakan segala sumber manusia dan kelengkapan sosialnya agar dapat membentuk satu daya ketahanan budaya yang membolehkannya berinteraksi dan bertindak secara autonomous dalam persekitaran baru ini.Pada abad ini, adalah amat penting untuk menjadikan rakyat Malaysia lebih produktif dalam persekitaran ekonomi baru.Pengurusan sumber manusia dalam pendidikan dahulu dan kini telah membangkitkan pelbagai isu yang menyentuh pelbagai aspek perkhidmatan dalam pendidikan.Namun dalam memastikan produktiviti dipertingkatkan, isu-isu berbangkit ini perlu diberikan perhatian oleh pihak yang bertanggungjawab.
Antara isu yang telah dibangkitkan dalam sektor pendidikan beberapa tahun
kebelakangan ini termasuklah:
i)isu penilaian prestasi atau insentif dalam pendidikan,yang merangkumi, penilaian prestasi tidak dilaksanakan mengikut jadual seperti yang ditetapkan dalam Pekeliling yang berkenaan, penilaian prestasi tidak dibuat secara objektif, adil dan telus, kelemahan pegawai penilai, sistem giliran dalam Anugerah Perkhidmatan Cemerlang,penetapan kuota 8% penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang mengikut Pekeliling yang relevan, dan kefahaman konsep dan pelaksanaan Penilaian Tahap Kecekapan.
ii)isu globalisasi pendidikan, yang merangkumi pencapaian perkhidmatan
pendidikan bertaraf dunia,pencapaian daya saing dan daya tahan global, dan transformasi pengajian tinggi bagi menjadikan negara hab kecemerlangan pengajian tinggi antarabangsa.
iii)isu teknologi dalam pendidikan, yang merangkumi keefisienan sistem pertukaran guru atas talian,kemahiran kakitangan dalam teknologi maklumat dan kekurangan infrastruktur fizikal (komputer/peralatan) dan infrastruktur bukan fizikal (perisian teknologi maklumat & komunikasi).
iv)isu jaminan kualiti pendidikan yang merangkumi isu-isu berhubung Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara Melangkaui Tahun 2020 dan Pengurusan
v)Kualiti Menyeluruh (Total Quality Management (TQM)) dan Persijilan ISO(International Organisation for Standardisation);
vi)isu perekrutan dan pemilihan staf yang merangkumi perekrutan dan pemilihan guru,unjuran keperluan guru, pembangunan kurikulum,latihan dan pembangunan kerjaya dan penempatan dan pertukaran guru,kekurangan data dan maklumat pendidikan.
vii)isu latihan dan pembangunan staf yang merangkumi pembentukan polisi dan objektif latihan memerlukan maklum balas daripada semua kakitangan masalah impak latihan, contohnya, analisis organisasi yang tidak mencukupi sebelum pelaksanaan, kurangnya sokongan pengurusan, pelatih yang tidak bermotivasi, kemahiran diajar tidak berkaitan dengan masalah, tiada tindakan susulan di tempat pelatih dan masalah peruntukan bagi program latihan yang tidak mencukupi.
viii)isu pembangunan kerjaya pekerja yang merangkumi kriteria yang dijadikan asas kenaikan pangkat,pertukaran tempat bertugas,pengurusan kerjaya,contohnya penilaian berorientasikan kerjaya, disiplin pekerja dan persaraan serta latihan yang diperlukan sebelum persaraan.
KESIMPULAN
Kesimpulannya, dunia tanpa sempadan ini memaksa industri pendidikan di Malaysia untuk melalui era transformasi yang sangat dirasai gelombangnya. Selain itu, perkembangan pendidikan di Malaysia yang semakin pesat ini adalah hasil daripada minat ibu bapa yang tinggi terhadap perkembangan pendidikan dan persekolahan anak-anak mereka baik di peringkat pra sekolah, pendidikan rendah, menengah dan juga di institusi pengajian tinggi. Kesedaran tersebut adalah implikasi daripada kesedaran mengenai kepentingan pendidikan bagi memajukan diri dalam menghadapi cabaran kehidupan yang semakin sengit. Oleh itu, peranan-peranan daripada pihak pendidik, ibubapa, dan pelajar itu sendiri amatlah penting bagi menghadapi transformasi dunia tanpa sempadan ini. Akhir sekali, pihak perancang pendidikan perlu melihat isu-isu dan cabaran yang berbangkit secara menyeluruh dan komprehensif. Menyelesaikan masalah secara runcitan dan memberi tumpuan kepada aspek tertentu dan mengurangkan tumpuan kepada aspek lain akan menghalang pelaksanaan pendidikan kita terutama bagi memenuhi aspirasi Falsafah Pendidikan Kebangsaan itu sendiri
Wednesday, 18 March 2015
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment